Sunday, 30 April 2017

Tidak dapat sentuh atau lihat, mata wang Bitcoin semakin popular


Bitcoin, cryptocurrency, wang digital, ethereum, ethtrade, pelaburan,


KUALA LUMPUR: Mata wang digital, atau dikenali “cryptocurrency”, masih istilah asing di kalangan masyarakat umum, namun ia berpotensi menjadi kaedah utama urus niaga masa depan.

Di Malaysia, nilai urusniaga mata wang digital seperti Bitcoin naik mendadak sejak tahun lalu, daripada RM130,000 pada Julai 2015 kepada RM730,000 setakat 16 Julai tahun ini.

“Walaupun mungkin masih disandarkan kepada sistem fiat sedia ada, mata wang kripto atau sekurang-kurangnya pembayaran digital adalah masa hadapan,” kata pengasas Bitcoin Malaysia, Colbert Low.

“Dunia sedang dalam perubahan. Persoalannya sama ada anda dapat menyesuaikan diri atau tidak,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

Pengguna aktif yang juga pelopor Bitcoin tempatan Ragunathan Ramankrishnan berkata nilai Bitcoin yang jauh meningkat sejak mula diperkenalkan adalah bukti ia semakin mendapat tempat di seluruh dunia.

“Empat tahun lalu, satu bitcoin hanya berharga RM50. Hari ini nilainya kira-kira RM2,000,” katanya kepada FMT.

Low dan Ragunathan merupakan perunding “cryptocurrency” dan antara pelopor fenomena Bitcoin di negara ini.

Bitcoin adalah aset digital dan sistem pembayaran yang diasaskan seorang individu misteri bernama Satoshi Nakamoto pada 2009.

Melawan teori biasa

Melalui kaedah ini, transaksi dijalankan secara terus antara individu tanpa melibatkan orang tengah iaitu bank, dan setiap transaksi direkodkan dalam sebuah lejar awam yang dinamakan “blockchain”.

Menurut Low, Bitcoin dicipta atas semangat mengenepikan teori ekonomi dan sistem mata wang semasa.

“Mata wang konvensional perlu disandarkan kepada sesuatu. Dolar AS dahulu disandarkan kepada emas, kini wang fiat tidak disandarkan kepada apa-apa. Ada yang menganggapnya sebagai kertas tandas.

“Maka individu yang mencetuskan Bitcoin ini mahu mengenepikan sistem ini. Pada satu sisi ia adalah anarkis dan mendakap semangat ‘anonymous’ zaman sekarang,” katanya.

Pemilik Bitcoin tidak perlu membawa wang tunai ke luar negara, sebaliknya boleh menukarkan bitcoin miliknya dengan mata wang di sana.

Ragunathan berkata, kini sudah banyak negara menggunakan mata wang digital untuk semua transaksi.

“Kerajaan Switzerland misalnya memberikan pengecualian cukai untuk tempoh tertentu kepada sesiapa sahaja yang ingin meneroka atau membangunkan syarikat berkenaan Bitcoin di negara itu,” katanya yang pernah memberi taklimat kepada Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung mata wang digital beberapa tahun lalu.

Namun, beliau mengakui Malaysia sendiri agak lambat untuk memutuskan pendirian berhubung perkara ini.

Perubahan sikap Bank Negara

Dua tahun lalu, BNM berkata Bitcoin tidak diiktiraf di negara ini dan mengingatkan semua pihak agar berwaspada dengan risiko penggunaannya.

“Peniaga yang menerima Bitcoin sangat terhad kerana pihak berkuasa masih tiada pendirian jelas tentangnya. Namun semenjak Datuk Muhammad Ibrahim menjadi gabenor, mereka mula meneroka teknologi ini.

“Sudah banyak juga syarikat Bitcoin dari Malaysia dan luar negara berbincang dengan BNM. Tidak lama lagi kajian BNM akan selesai dan kita nantikan apakah perkembangannya,” kata Ragunathan.

Beliau berkata pertemuan pertama komuniti Bitcoin pada 2012 hanya disertai kira-kira 15 orang.

“Sekarang komuniti ini sudah ada lebih 3,000 orang. Kesedaran semakin meningkat. Akhbar pun sudah mula buat laporan, maknanya Bitcoin sudah jadi arus perdana,” katanya.

Low mengulangi mantranya betapa dunia sekarang sedang mengalami perubahan dan ini nasihatnya:

“Dalam hal teknologi ini, tipsnya mudah. Anda lihat tokoh-tokoh pintar seperti Bill Gates, nilai dan ikut langkahnya,” katanya.

Dalam sebuah persidangan industri perkhidmatan kewangan pada 2014, pengasas Microsoft itu dilaporkan berkata transaksi kewangan akhirnya menjadi “digital, sejagat dan hampir percuma.

“Mereka boleh melihat keadaan seribu langkah ke hadapan, dan tahu ke mana dunia ini sedang bergerak. Sebab itu mereka mula membiasakan diri dengan teknologi ini,” katanya.

Sumber : www.freemalaysiatoday.com

Lebih setahun da perjalanan aku untuk meneroka dunia pelaburan dan mengkaji cara-cara untuk menjana pendapatan secara online ni. 

Setakat ni ada yg jadi dan ada yg tidak. Ada yang kerjanya sangat mudah hanya perlu klik iklan tapi malangnya ianya memerlukan masa yang lama dan setiap hari perlu lakukan benda yang sama je... da macam robot plak menghadap PC dan klik iklan yang sama setiap hari. 

Tapi jangan tak percaya ada je orang yang mampu hasilkan pendapatan dari laman paid-to-click (PTC) ni. Terutamanya untuk student, sambil-sambil buat assignment, tulis report FYP, atau sambil-sambil online tu surf jela website-website PTC tu dan klik je iklan. 

Dan bila cukup baki akaun minimum boleh la withdraw. At least ada jugak duit poket kan. Kalau nak kerja sambil belajar boleh je tapi kalau yang tak ada transport dan duduk kolej ke boleh la kan dari tak ada langsung. 

Tapi kerja-kerja klik iklan ni memang sangat-sangat tak sesuai untuk orang yang selalu AIM HIGH macam aku sebab tu aku suka belajar tentang selok-belok pelaburan. Bukan pelaburan wang atau fiat seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), Unit Trust atau Unit Amanah, dan Saham (BSKL)  je tapi lebih daripada tu contohnya pelaburan hartanah (AHB), FOREX, emas fizikal, akaun emas, barang kemas dan sebagainya. 

Dan yang paling berharga adalah PELABURAN MASA yang sanggup aku laburkan untuk mencari  dan memantapkan pengetahuan dalam bidang pelaburan ni walaupun ianya bertentangan dengan jurusan pengajian aku. 


Tapi disebabkan minat yang mendalam tentang pelaburan ni jadi terpaksa la aku membahagikan masa untuk study dan timba pengetahuan berkaitan dengan pelaburan-pelaburan yang tidak hanya ditawarkan di dalam negara saja tetapi aku juga mula mengikuti informasi pelaburan yang terdapat di luar negara terutama negara maju seperti German, Arab Saudi, Jepun dan sebagainya.

Selain tu aku pun mengikuti perkembangan Bitcoin jugak dari tahun lepas dan terbukti harga 1BTC tahun lepas (2016) adalah RM900 lebih dan setakat hari ni 1 Mei 2017 harga 1BTC dah mencecah RM5800. Macam tak masuk akal kan? 

Kalau korang nak tau harga Bitcoin ni memang volatile macam SAHAM jugak ada naik turun dan harganya tak tentu. 

Terbaru aku cuba mengikuti sejenis lagi pelaburan wang digital atau wang masa depan 'cryptocurrency' ETHEREUM yang didagang bersandarkan matawang Bitcoin ni. 

Aku tak galakkan sesiapa pun menyertai pelaburan ETHTRADE yang berpusat di Hong Kong ni sebab aku masih lagi dalam peringkat pembelajaran tentang jenis-jenis pelaburan dan masih meneliti adakah ianya termasuk dalam kategori Skim Cepat Kaya atau skim PONZI sebab keuntungannya agak melampaui batas kewarasan fikiran. 

Pada pendapat aku matawang baru 'cryptocurrency' ni mungkin akan melemahkan sistem perbankan secara amnya dan Bank Negara Malaysia secara khususnya kalau BNM lambat bertindak untuk membeli aset-aset digital Bitcoin ni sebab negara maju seperti Singapore, Jepun, dan sebagainya juga telah mengguna pakai matawang Bitcoin ni setiap hari dalam urusan jual beli tertentu seperti Microsoft.

Kalau tengok dalam Youtube, Bill Gates yang da kaya raya tu pun menyokong penggunaan matawang digital 'cryptocurrency' ni. Jadi kenapa kita memilih untuk melihat je kemajuan orang lain sedangkan kita sendiri tak nak bertindak dan rebut peluang ni? 

Akhirnya kita sendiri yang menuding jari dan update status di facebook atau media sosial yang lain bertujuan untuk lepas geram atau menyalahkan kerajaan itu dan ini contohnya Kerajaan Malaysia tak bagi BR1M dan sebagainya. 

Mungkin belum terlambat untuk kita belajar tentang matawang digital 'cryptocurrency' ni supaya kita tergolong dalam golongan orang yang suka memberi dan bukan golongan yang suka meminta-minta sekaligus merendahkan martabat atau maruah diri seperti satu pepatah yang menyebut 'tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima'. 

2 comments:

  1. Macam best je.. Bitcoin nie..

    Cuma perlu pastikan ia patuh syariah atau tidak

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ada journal tentang Bitcoin ni patuh syariah atau tak. Boleh cari kat Google Scholar journal Bitcoin in Islamic Banking and Finance yg ditulis oleh Charles W. Evans.

      Delete