Monday 22 June 2015

Latihan Asas Keusahawanan Skim Usahawan Siswazah (SUS)


PENGENALAN

Skim Usahawan Siswazah (SUS) adalah program anjuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) untuk melaksanakan kursus dan Bank Perusahaan Kecil & Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank) untuk pinjaman Tabung Usahawan Siswazah. Program ini merangkumi dua komponen iaitu Skim Usahawan Siswazah (kursus) dan Tabung Usahawan Siswazah (pinjaman).

KUMPULAN SASAR

Terbuka kepada sekurang-kurangnya pemegang Diploma yang telah tamat pengajian tidak melebihi 15 tahun dan berumur tidak melebihi 40 tahun dari Institusi Pengajian Tinggi Awam/ Swasta dalam dan luar negeri yang diiktiraf oleh Malaysian Qualifications Agency (MQA) atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) atau Politeknik di bawah Kementerian Pengajian Tinggi  atau Kolej MARA. Pelajar di tahun akhir, semester akhir boleh  mengikuti kursus Skim Usahawan Siswazah tetapi hanya layak memohon pinjaman Tabung Usahawan Siswazah selepas tamat pengajian dengan menyertakan transkrip keputusan penuh.

OBJEKTIF KURSUS

meningkatkan bilangan siswazah dalam bidang keusahawanan yang akan menyumbang ke arah matlamat pembangunan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB);
Memberi latihan penyediaan rancangan perniagaan, pengurusan pemasaran dan kewangan, mengenalpasti peluang perniagaan dan kemudahan pembiayaan; dan
Melayakkan peserta memohon pembiayaan Tabung Usahawan Siswazah (TUS).

SKIM USAHAWAN SISWAZAH (KURSUS)

Latihan ini diadakan sebagai satu langkah untuk menggalakkan dan meningkatkan penglibatan siswazah dalam bidang perniagaan sejajar dengan hasrat Kerajaan untuk melahirkan lebih ramai usahawan yang berpendidikan tinggi.

TEMPOH

Sepenuh masa : 8.30 pagi – 10.30 malam.

KANDUNGAN

Modul 1: Keusahawanan dan Motivasi Keusahawanan;
Modul 2: Pengurusan Perniagaan;
Modul 3: Peluang Perniagaan;
Modul 4: Rancangan Perniagaan;
Modul 5: Pengurusan Kewangan; dan
Modul 6: Taklimat Pembiayaan.

YURAN

Yuran kursus adalah sebanyak RM250.00 (termasuk nota, makan & penginapan). Bayaran hendaklah dibuat pada hari pendaftaran untuk diserahkan kepada urusetia dan dijelaskan dalam bentuk Kiriman Wang, Bank Deraf atau Wang Pos sahaja atas nama Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

TEMPAT

Peserta blh memilih tempat kursus (negeri) yang ingin dihadiri seperti di dalam jadual. Maklumat terperinci mengenai lokasi kursus akan dimaklumkan melalui surat tawaran yang akan diedarkan selewat-lewatnya 2 minggu dari tarikh kursus bermula. Kursus ini diadakan di seluruh negeri di Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

PERMOHONAN KURSUS

Pemohon boleh mendapatkan Borang Latihan Keusahawanan melalui laman web INSKEN. Permohonan perlu disertakan dengan borang kursus, sijil akademik dan pengiktirafan MQA atau JPA.  Pemohon perlu menyemak  (sendiri pengiktirafan sijil melalui MQA atau JPA sebelum memohon kursus . Permohonan boleh dikemukakan ke INSKEN melalui :

Email kepada arni@miti.gov.my atau nurakmar@miti.gov.my (attachment : pdf sahaja);
Faks di talian 03-88805199/ 5152; atau
Pos ke alamat :

Aras 3, Blok Menara
Institut Keusahawanan Negara (INSKEN)
Kementerian Perdagangan Antarabangsa & Industri (MITI)
No.18, Persiaran Perdana,Precint 2,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62652 Putrajaya.

TABUNG USAHAWAN SISWAZAH (PINJAMAN)

Dana Tabung Usahawan Siswazah (TUS) disediakan oleh kerajaan untuk pemohon yang telah mengikuti kursus Skim Usahawan Siswa yang dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sahaja. Selain itu, dana TUS juga layak dimohon oleh peserta Program Inkubator Usahawan Siswazah (PIUS) yang dikendalikan oleh SME Bank.

Permohonan terbuka kepada pemohon yang ingin memulakan perniagaan, telah mempunyai perniagaan dan ingin mengembangkan perniagaan. Pemohon adalah diwajibkan mengikuti kursus untuk melayakkan permohonan pembiayaan TUS melalui SME Bank.

SYARAT PERMOHONAN TUS

Pinjaman melalui TUS adalah untuk pembiayaan harta tetap dan modal kerja atau kedua-duanya sekali;
Pengambilalihan syarikat/ firma dan perolehan teknologi juga adalah dibenarkan. Ianya terbuka kepada pembiayaan projek-projek dalam industri yang mendapat galakan kerajaan dan berdaya maju kecuali pelaburan hartanah, industri 'primary agriculture', direct selling, cybercafe dan insurans;
Mestilah pengusaha sepenuh masa dan pemilik majoriti perniagaan;
Permohonan dana TUS boleh dibuat dengan mengemukakan sebanyak lima (5) salinan Rancangan Perniagaan (RP) yang lengkap kepada INSKEN, MITI mengikut format RP SME Bank untuk melayakkan ke proses penapisan (screening).

Pemohon TUS yang telah menghantar 5 salinan RP kepada INSKEN akan diberikan surat tawaran untuk menghadiri proses penapisan.
Pemohon perlu membentangkan RP tersebut yang bertempat di INSKEN, MITI. Pembentangan Rancangan Perniagaan adalah antara 30-40 minit dan akan dinilai oleh INSKEN dan SME Bank; dan
Pemohon yang beroperasi di Sabah dan Sarawak diberikan pengecualian daripada menghadiri proses penapisan di INSKEN. Permohonan dana TUS boleh dibuat melalui SME cawangan Sabah dan Sarawak.

KEMUDAHAN PINJAMAN (DANA TUS)

Pinjaman yang disediakan adalah dari RM20,000.00 hingga maksimum RM500,000.00. Walaubagaimanapun, had pembiayaan boleh dipertingkatkan sehingga maksimum RM750,000.00 khusus untuk pembiayaan bagi pengambilalihan syarikat sahaja (hanya pembiayaan aset tetap);
Membiayai keperluan harta tetap atau modal kerja projek perniagaan atau kedua-duanya;
Pemohon yang telah berniaga dan beroperasi melebihi dua (2) tahun tidak perlu menghadiri kursus Skim Usahawan Siswazah (SUS) dan proses penapisan (screening) di INSKEN;
Kadar faedah 4% setahun;
Tempoh pembiayaan maksimum sehingga 10 tahun (tidak termasuk bangunan) dan 20 tahun (untuk bangunan/ premis perniagaan sahaja) dari tarikh pengeluaran wang pertama;
Tempoh pengecualian bayaran balik pinjaman maksimum sehingga 48 bulan;
Tiada penjamin diperlukan bagi pembiayaan bangunan/ premis perniagaan atau pembiayaan modal kerja sehingga RM100,000.00;
Untuk pembiayaan melebihi RM100,000.00 penjamin hanya menjamin sebanyak 20% daripada jumlah baki pinjaman yang melebihi RM100,000.00 sahaja;
Pembiayaan sehingga 100% daripada kos item yang dibiayai (termasuk kos insurans, yuran dokumentasi guaman dan yuran-yuran perundingan) bagi pembiayaan sehingga RM100,000.00;
Pembiayaan sehingga 90% daripada kos item yang dibiayai (termasuk kos insurans, yuran dokumentasi guaman dan yuran-yuran perundingan) bagi pembiayaan melebihi RM100,000.00; dan
Pembiayaan secara konvensional dan syariah.




0 comments:

Post a Comment