Daripada Jundub bin Abdullah,
katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang bersolat Subuh (pada waktunya
secara berjemaah) maka dia berada dalam jaminan (keamanan dan perjanjian Allah
dengan itu janganlah sampai Allah menuntut sesuatu kepada kamu daripada jaminan
– perjanjian). (Jangan sampai kamu meninggalkan solat Subuh) kerana
sesungguhnya sesiapa yang dituntut oleh Allah daripada suatu jaminannya
(perjanjiannya) tentu akan tercapai (berlaku), kemudian Allah menyembahkan
mukanya ke dalam api neraka.” (Riwayat Muslim)
Orang Islam digalakkan solat lima
waktu berjemaah kerana terdapat banyak fadilatnya. Orang yang menunaikan solat
lima waktu khususnya solat Subuh maka dia tetap berada dalam jaminan
(tanggungjawab) Allah sepanjang hari.
Sesiapa
yang menganiayai atau menghalang seseorang daripada beribadah, nescaya dia akan
diazab oleh Allah SWT. Meninggalkan solat Subuh maka terbatallah jaminan yang
diberikan Allah kepada hamba berkenaan.
Dikhususkan (ditentukan) solat
Subuh dengan kelebihan ini kerana solat Subuh lebih berat daripada solat lain
disebabkan Subuh waktu sedang nyenyak tidur, pada musim sejuk pula sukar untuk
berwuduk.
Rasulullah SAW bersabda:
“Segerakanlah solat Subuh sebelum matahari terbit. Sebab ketika itulah para
pengikut syaitan sedang keluar dari sarangnya. Ketika itu pula orang kafir
tengah bersujud kepada matahari.” (Riwayat Muslim)
Kita hendaklah sentiasa berusaha
untuk mengerjakan solat di awal waktu kerana di akhirat kelak, perkara pertama
sekali disoal oleh Allah SWT adalah solat. Jika sempurna solat seseorang itu
maka sempurnalah amalannya yang lain.
Seorang Muslim yang taat tidak
akan melewat-lewatkan solatnya. Contohnya bersolat Zuhur apabila sudah hampir
sampai waktu Asar, solat Maghrib menghampiri waktu Isyak, solat Subuh ketika
matahari sudah terbit (subuh gajah).
Berusaha memperbaiki solat
menjadi lebih sempurna bukan saja memastikan solat di awal waktu tetapi
dilaksanakan secara berjemaah di masjid atau surau dengan menjaga kekhusyukan,
bacaan, rukun dan kesempurnaan wuduk.
Rasulullah SAW bersabda: “Solat
yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isyak dan Subuh. Seandainya
mereka tahu apa makna di dalamnya, maka mereka akan mendatanginya sekalipun
dengan merangkak.” (Muttafaqun Alaih)
0 comments:
Post a Comment