KUALA LUMPUR: Pasaran hartanah dijangka mendatar sepanjang tahun ini disebabkan sentimen belian yang lemah, kata Presiden Institut Ejen-ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Siva Shanker.
"Kini pasaran pada tahap sederhana, dengan pembeli enggan memasuki pasaran dan mengekalkan pendekatan berhati-hati," katanya. Beliau berkata, pasaran dijangka tidak memperlihatkan peningkatan dari segi jumlah transaksi, namun harga dijangka naik.
"Ini bukan disebabkan oleh GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) kerana dengan atau tanpa GST, harga akan terus meningkat berikutan kos pembinaan, bangunan dan tanah terus meningkat," katanya selepas Forum Pengurusan Pelaburan Affin Hwang Asset 2015 di sini hari ini.
Tahun depan, katanya pasaran dijangka menyaksikan peningkatan lima hingga enam peratus, terutama hartanah kediaman.
"Selari dengan unjuran perkembangan pasaran pada 2018, dipacu oleh bekalan, permintaan dan lokasi hartanah, mereka yang merancang membeli rumah, perlu melakukannya sekarang disebabkan lebih lama anda menunggu, anda perlu membayar harga yang lebih tinggi," katanya.
Pada forum itu, beliau berkata mereka yang mencari hartanah, terutama pembeli kali pertama, wajar membeli rumah mampu milik dan menaik tarafnya kemudian.
"Ada yang lazimnya mahu membeli hartanah yang tidak mampu mereka beli sekarang dan menyimpan wang untuk tujuan itu. Namun apabila sudah mampu, harganya kian meningkat. "Adalah lebih baik membeli hartanah pada kos yang lebih rendah dan menjualnya dan membeli hartanah yang lebih besar dan baik kemudian," katanya. - BERNAMA
Kredit: www.bharian.com.my
Tags: Berita Sukan
0 comments:
Post a Comment